Wednesday, February 7, 2018

KEDUDUKAN ZAKAT FITRAH



Sebagaimana yang dijelaskan Syaeikhul Islam Ibn Taimiyyah, pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini adalah bahawasanya Zakat Fitrah itu mengikuti prosedur kaffarah. Kerana Zakat Fitrah adalah zakat badan dan bukan zakat harta. Di antara dalil yang menunjukkan bahawa zakat fitrah adalah zakat badan dan bukan harta adalah pernyataan ibn abbas dan ibn umar ra tentang zakat fitrah :

Ibnu Umar ra mengatakan : “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah, bagi kaum muslimin, hamba mahupun orang merdeka, lelaki mahupun wanita, anak kecil mahupun orang dewasa”. HR Al-Bukhari

Ibnu Abbas ra mengatakan : “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah, sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa & perbuatan atau ucapan yang buruk”. HR Abu Daud & dihasankan Syaikh Al-Albani

Dua riwayat ini menunjukkan bahawa Zakat Fitrah ini adalah zakat badan, bukan zakat harta. Berikut adalah 2 pendapat tentang kedudukan Zakat Fitrah iaitu :

1.    Adanya kewajipan zakat bagi anak-anak, hamba dan wanita. Padahal mereka adalah orang yang tidak memiliki harta. Seperti hamba, jasad dan hartanya semuanya milik tuannya. Jika zakat fitrah merupakan kewajipan kerana harta maka tidak mungkin orang yang sama sekali tidak memiliki harta diwajibkan untuk dikeluarkan zakatnya.
2.    Salah satu fungsi zakat adalah penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa & perbuatan atau ucapan yang buruk.  Fungsi ini menunjukkan bahawa zakat fitrah statusnya sebagaimana kaffarah untuk kekurangan puasa seseorang.

PANDANGAN ULAMA’ TENTANG PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH

Pendapat Pertama : Pendapat yang membolehkan zakat dengan menggunakan wang

Ada sebahagian ulama’ yang memberikan pendapat membolehkan membayar zakat fitrah dengan menggunakan wang. Di antaranya Adalah Imam Abu Hanifah, Imam Tsauri, Imam Al-Bukhari Dan Imam Abu Taimiyyah. Dalil mereka antara lain firman Allah SWT yang bermaksud : “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka.” Surah At-Taubah Ayat 103

Menurut mereka, ayat ini menunjukkan zakat asalnya diambil dari harta iaitu apa yang dimiliki berupa emas dan perak (termasuk wang). Jadi ayat ini membolehkan membayar zakat fitrah dalam bentuk wang.(Rabi’ Ahmad Sayyid, Tadzir Al-Anam Bi Wujub Ikhraj Zakat Al-Fithr Tha’nam Hal 4)

Mereka juga berhujjah dengan sabda nabi Muhammad saw yang bermaksud : “cukupilah mereka (kaum fakir dan miskin)dari meminta-minta pada hari seperti ini (iedul fitri). HR Daruquthni Dan Baihaqi

Menurut mereka, memberi kecukupan (ighna’) kepada fakir miskin dalam zakat fitrah terwujud dengan meberika wang (Abdullah Al-Ghafili, Hokum Ikhraj Al-Qimah Fi Zakat Al-Fithr Hal 3)

Pendapat Yang Kedua : pendapat yang tidak membolehkan dan mewajibkan Zakat Fitrah dalam bentuk bahan makanan utama/asasi.

Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ Malikiyyah, Syafi’iyah Dan Hanabilah. (Al-mudawwanah al-Kubra, alMajmu’, Almughni)

Dalil mereka antara lain daripada hadith ibnu umar ra yang bermaksud : “rasulullah saw telah mewajibkan Zakat Fitrah berupa satu sha’ kurma atau satu sha’ (sya’ir) atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, anak-anak dan orang dewasa, dari kaum muslimin.” HR al-Bukhari

Hadith ini jelas menunjukkan Zakat Fitrah dalam bentuk bahan makanan bukan dengan wang, padahal zaman itu dinar dan dirham sudah ada ketika itu.

Kesimpulannya, adalah pada dasarnya membayar zakat dengan wang itu boleh, bahkan dalam keadaan tertentu lebih utama. Mungkin boleh jadi pada saat Idul Fitri jumlah makanan (beras) yang dimiliki fakir miskin jumlah berlebihan. Kerana itu, mereka menjualnya untuk kepentingan lain. Dengan membayar zakat menggunakan wang, mereka tidak perlu susah payah untuk menjualnya kembaliyang mungkin harganya menjadi lebih rendah. Dan dengan wang itu pula, mereka dapt membelanjakan sebahagian untuk makanan, pakaian dan keperluan lainnya. Wallahu A’lam




فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka

No comments: