Thursday, February 22, 2018

Angan-angan yang Menyesatkan



Assalamualaikum w.b.t. Bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah dan rahmatNya masih lagi Allah S.W.T meletakkan kita di dalam golongan orang-orang yang bercita-cita untuk memperoleh syurga akhirat. Sebahagian orang menganggap bahawa syurga dunia yang diperoleh tanpa pengorbanan dan mujahadah terhadap agama akan juga diperoleh di akhirat. Sungguh,pemikiran mereka sebenarnya merupakan angan-angan yang menyesatkan. Firman Allah S.W.T ;        
يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا
Maksudnya : “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata”
                                                                                                                        (Surah An-Nisa;120)
Angan-angan kosong merupakan senjata syaitan untuk menyesatkan hamba Allah S.W.T. Syaitan membisikkan angan-angan kosong di telinga mereka supaya tenggelam dengan kesenangan dunia dan melewat-lewatkan taubat. Dengan bermodalkan angan-angan kaum muslimin tidak akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Akan tetapi apa yang menjadi ukuran adalah ketaatan kepada Allah S.W.T.
Nabi Muhammad s.a.w melarang  perbuatan yang melampaui batas dan berangan-angan kosong. Sebagaimana di dalam sabdanya yang bermaksud : “ Orang yang cerdik adalah orang yang menjauhi nafsunya dan beramal untuk (bekal) setelah mati. Adapun orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap (turunnya pengampunan) Allah S.W.T.”
                                                            (HR Tirmizi, Ahmad, dan Ibnu Majah)
Dengan kata lain, orang  bijak adalah orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan setelah kematian. Tetapi orang yang lemah sentiasa berkhayal,  mempersia-siakan kesempatan hidupnya di dunia, mengikuti hawa nafsunya dan kemudian berangan-angan akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.
Yakinlah bahawa tidak ada hubungan di antara Allah dengan makhlukNya melainkan melalui perantaraan amal soleh dan ketakwaan. Oleh itu marilah kita bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk keluar daripada tipu daya syaitan yang terkutuk. Mudah-mudahan Allah S.W.T memberi petunjuk kepada kita semua untuk melakukan amal soleh bagi mencari bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak. Amin.
فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka

No comments: