Wednesday, February 7, 2018

AKHIR ZAMAN: HURU HARA YANG DICERITAKAN DI DALAM AL-QURAN

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang masih memberi kita meminjam dan menghirup udara pernafasan kehidupan di dunia ini. Alhamdulillah juga untuk kita kerana Allah masih menetapkan kita, hati-hati kita didalam dua nikmat yang sangat berharga iaitu nikmat Iman dan Islam.
insyaAllah, di hari Jumaat yang penuh barakah,maghfirah dan rahmat ini, penghulu segala hari, saya akan sama-sama berkongsi iaitu mengenai sambungan tajuk yang lepas iaitu “huru-hara hari qiamat”. Hayati dan fahami dengan baik agar ianya dapat dijadikan pengajaran dan peringatan buat diri kita semua.
Seperti sedia maklum, apa yang ingin dikongsikan ini dikisahkan dan diceritakan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran mengenai balasan-balasan yang perit bagi orang kafir sehingga mencetuskan suasana huru-hara pada hari pembalasan itu nanti. Ayuh!! Sama-sama kita kongsikan sambungannya.
Firman allah s.w.t. di dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 48-50:
Maksudnya: (Yaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan meraka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadirat Allah yang Maha Esa lagi Maha PerkasaDan kamu akan melihat orang-orang yang berdosa pada hari itu diikat bersama-sama dengan belenggu.Pakaian mereka adalah dari pelangkin (ter) dan muka mereka ditutup oleh api neraka,

Ayat di atas, Allah s.w.t. menceritakan akibat kebsombongan,kebongkakkan, keangkuhan dan ketidak taatan kepada Allah, lalu mereka orang kafir ini akan dibangkitkan dan dihadapkan kehadapan Allah s.w.t  dalam keadaan diikat, memakai pakain ter( iaitu sejenis pakaian yang mudah  dinyalakan api), dan wajah yang diselubungi api menyala. Alangkah ngeri dan pedihnya balasan untuk mereka di atas segala keburukkan mereka di dunia.
Imam ath-Thabari dan tafsir Jalalain menafsirkan ayat 49 itu dengan tafsiran mereka iaitu mereka yakni orang-orang kafir akan diikat bersama-sama dengan syaitan-syaitan mereka dengan tali-tali ataupun rantai besi. Nau’dzubillahi min dzalik.
Tatkala mereka orang-orang kafir melihat pembalasan dan azab yang teruk serta pedih bagi mereka maka timbul kekesalan dan penyesalan yang menyelubungi mereka. Namun, ketika itu penyesalan tiada gunanya lagi dan Allah namakan untuk mereka orang-orang kafir ini dengan nama “hari penyesalan” sepertimana yang difirmankan Allah s.w.t. di dalam surah Maryam ayat 39:
وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, (yaitu) ketika segala perkara telah diputus. Dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman.
Akibat  begitu besarnya penyesalan orang kafir atas perbuatan dan tingklahlaku mereka  terhadap Rasul yang diutus kepadanya atas perbuatannya mengikuti musuh-musuh para rasul, mengingkari perintah-perintah Allah s.w.t dan tidak mengimani dengan Allah maka mereka orang-orang kafir ini  menggigit tangannya kerana menyesal. Sepertimana yang difirmankan Allah s.w.t di dalam surah al-Furqan ayat 27-29:

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا(27)
Maksudnya: Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: "Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul".


يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا(28)
Maksudnya: Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku).
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا(29)
Maksudnya: Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Quran ketika Al Quran itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia.
Apa yang dilakukan oleh mereka orang-orang kafir di atas penyesalan terhadap apa yang dilakukan semuanya tidak lagi diterima Allah.  Hal ini kerana, ketika kehidupan mereka di dunia Allah telah mendatangkan utusanNya untuk membawa kebenaran yang nyata iaitu (Islam), namun mereka mengingkari dan memperolok-olokkannya dengan sengaja. Akibat tidak mahu menerima ajaran dan para rasul yang Allah utuskan maka inilah balasan yang setimpal untuk mereka orang-orang kafir yang tidak mahu mengikut Allah.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ilmu-ilmu agama agar kita dapat sama-sama membimbing dan mengajak sahabat-sahabat yang berlainan agama selain Islam untuk kembali kepada fitrah asal seorang manusia. Walaupun tiada paksaan dalam beragama namun ingatlah islam adalah agama yang benar dan nyata kebenarannya. Hikmah, nasihat yang baik, dan berbahas dengan pengakhiran yang baik adalah cara atau kaedah yang sesuai untuk menarik minat mereka kepada Islam. Waallahua’lam.

HAZ/UDS
PUSAT ISLAM
 UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA




فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,

76100 Durian Tunggal,
Melaka

No comments: