Tuesday, October 23, 2012

Komen aku: Fasiliti Unisel Baik Dan Yuran Berpatutan, Kata Graduan Penerima Anugerah Kecemerlangan


BESTARI JAYA, 14 OKT : Fasiliti yang baik dan yuran berpatutan itu gambaran yang diberikan oleh empat graduan Universiti Selangor (Unisel) yang menerima hadiah kecemerlangan akademik pada Majlis Konvokesyen Ketujuh di Dewan Canselor Kampus Unisel Bestari Jaya semalam.
Kejayaan itu lebih manis apabila dapat diraihkan bersama para ibu-bapa, pensyarah dan rakan seperjuangan yang turut memberikan sumbangan besar kepada kejayaan mereka.
Bagi Pelajar Ijazah Senilukis dan Senireka, Noor Hanini Ishak yang dinobatkan penerima Anugerah Canselor menyifatkan, kejayaannya adalah hasil kerja keras dan sokongan padu semua pihak yang tidak mengenal erti penat lelah.
“Sebelum ini keputusan peperiksaan saya sederhana sahaja, apabila saya masuk Unisel pertama yang saya buat ialah menulis di atas kertas yang saya mahu mendapatkan Ijazah Kelas Pertama.
“Dengan berkat doa ibu-bapa dan keluarga dengan izin Allah saya berjaya mendapat apa yang saya inginkan,” katanya yang menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara itu, Graduan Pendidikan Pra-Sekolah daripada Fakulti Sains Sosial, Khuzairah Nabisah Ahmad Tazli yang menerima Anugerah Exco Pendidikan akan menyambung pelajaran lebih tinggi bagi memberikan sumbangan besar kepada negara.
Khuzairah menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,500 yang disumbangkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.
“Saya terharu dan amat berbangga menerima anugerah ini serta ucapan terima kasih kepada kerajaan Selangor, ibu-bapa, keluarga dan rakan seperjuangan,” katanya.
Manakala Anugerah Pengerusi 2012 diterima graduan Sarjana Muda Sains Komputer daripada Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Mohd Hasrin Othman.
Beliau menerima sijil penghargaan dan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 sumbangan Yayasan Selangor yang disampaikan oleh Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Sebelum ini saya pernah gagal belajar di luar negara, namun apabila balik ke Malaysia, saya memohon masuk ke Unisel kerana menawarkan yuran yang rendah dan mempunyai fasiliti kemudahan yang bagus.
“Jadi apabila masuk ke Unisel saya menanam azam yang kuat untuk berjaya dan akhirnya berjaya seperti hari ini,” katanya.
Sementara itu , Anugerah Naib Canselor dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Perkaunan Fakulti Perniagaan, Virgilia Cheo Eng Chin yang menyifatkan kejayaan yang dicapainya merupakan kejayaan semua pihak.
Beliau menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,500 sumbangan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.
“Saya ingin kongsikan kejayaan saya pada hari ini kepada ibu-bapa dan keluarga saya serta pensyarah yang memberikan sokongan yang kuat selama empat tahun.
“Impian yang saya tanam sejak menjejakkan kaki pada hari pertama di Unisel telah tercapai hari ini dan saya amat berterima kasih kepada semua,” katanya.

No comments: