Tuesday, October 23, 2012

76.5 peratus dapat pekerjaan... Tahniah Unisel kerana memberi peluang untuk belajar


BESTARI JAYA, 13 OKT : Universiti Selangor (Unisel) berjaya membuktikan keunggulan dan kecemerlangan institusi itu apabila berjaya melahirkan graduan berkualiti untuk pasaran pekerjaan negara.
Canselor Unisel, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, graduan Unisel juga lebih mudah mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang hasil daripada latihan industri yang diwajibkan kepada semua siswazah.
“Difahamkan melalui kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bahawa graduan Unisel adalah yang tertinggi bagi aspek kebolehpasaran untuk syarikat swasta di dalam negara dan antarabangsa.
“Pelajar Unisel adalah kedua tertinggi dalam negara untuk IPTS dalam aspek kebolehpasaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi iaitu 76.5 peratus selepas enam bulan bekerja,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Istiadat Konvokesyen Ketujuh Unisel di Di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya.
Ujar Arshad pencapaian itu membuktikan ramai pihak yang berkeyakinan tinggi dengan kemampuan graduan Unisel untuk bersaing di peringkat tinggi.
“Penambahan pelajar baru Unisel untuk tahun ini telah melebihi 4,500 orang pelajar iaitu satu jumlah pengambilan yang besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Ini menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan Unisel mendidik anak-anak mereka,” kata Arshad.
Beliau menambah sepanjang 2012, Unisel menempa banyak kejayaan dalam bidang penyelidikan dan aktiviti kokurikulum staf dan para pelajar.
“Semoga usaha gigih ini dapat diteruskan sehingga Unisel dapat mencapai kecemerlangan di mata dunia,” ujar beliau.

No comments: