Thursday, October 18, 2012

Akhirnya Dapat Juga Ijazah beserta dengan Anugerah ke 2 Tertinggi Best Student


“Ramai orang membeli jamu,
Di bawah pokok cuaca redup,
Bersungguh-sungguh mencari ilmu,
Ilmu dicari penyuluh hidup”

      Inilah serangkap pantun yang membuatkan beliau tidak berputus asa untuk menyambung belajar di peringkat tinggi. Walaupun pernah gagal ketika belajar di institusi pengajian tinggi terkemuka luar negara, namun atas sifat tidak berputus asa dan restu ibu bapa, akhirnya beliau menyambung belajar di UNISEL dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer. Beliau dilahirkan pada 04 February 1987 di Melaka, merupakan anak keempat daripada tujuh adik beradik. Merupakan anak peneroka Felda Palong 15 dan dibesarkan di kawasan Felda. Memperoleh 4A 1B (UPSR), 7A 1B (PMR), 8A 2B (SPM), seterusnya belajar di salah sebuah matrikulasi, dan akhirnya tamat belajar di UNISEL dengan memperolehi sekeping Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. 

       Bercita-cita menjadi programmer terhebat dalam sistem komputer dan usahawan berjaya suatu hari nanti, beliau sekarang bekerja sebagai jurutera perisian di syarikat CEO Consultancy Sdn Bhd. Semasa menjalani latihan industri di syarikat yang beliau bekerja sekarang, beliau amat komited dalam kerjaya sehingga diberi kepercayaan untuk menyelesaikan masalah pada sistem SKF @ptitude Analysis yang digunakan oleh lebih 5000 syarikat di seluruh dunia. 

       Semasa belajar di UNISEL, beliau telah berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Certified Tester Foundation Level (CTFL) yang ditaja oleh Malaysian Software Testing Board (MSTB). CTFL adalah sijil yang dikeluarkan oleh International Software Testing Qualification Board (ISTQB) dan sijil ini amat dikenali serata dunia. Dengan memiliki sijil ini, beliau layak untuk menjalani profession sebagai Certified Tester di mana-mana syarikat teknologi maklumat di seluruh dunia. Beliau juga pernah menjalani kursus Microsoft SQL Server 2008 dan Enterprise Resource Planning (ERP) di bawah tajaan Multimedia Development Corporation (MDEC) untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan tersebut sebelum menghadapi alam pekerjaan.

         Di samping itu, beliau aktif dalam Kelab Elite yang ditubuhkan dibawah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Memegang jawatan bendahari dalam persatuan, beliau bersama ahli persatuan telah membuat kelas tambahan untuk mengajar rakan-rakan dan junior tentang pengaturcaraan (programming) dan membantu mereka untuk berjaya dalam subjek yang diambil. Selain menyertai beberapa persatuan lain, beliau dan pasukannya pernah mendapat johan dalam permainan futsal pada Hari Kokurikulum di UNISEL. 

      Memegang kata-kata peribahasa melayu “Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang”, dan menanam semangat mengubah diri sendiri menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya, beliau sentiasa berusaha sehabis baik dalam apa-apa sahaja yang dilakukannya. Beliau yang baru sahaja berkahwin pada bulan April 2012, amat bersyukur kepada Tuhan, dan berterima kasih kepada dorongan ibu bapa, adik beradik, isteri dan rakan-rakan di atas kecemerlangan ini. Beliau turut berterima kasih kepada pihak UNISEL kerana menyediakan peluang untuk belajar di peringkat pengajian tinggi, dan berharap agar UNISEL akan menjadi salah sebuah universiti yang terbaik di dunia suatu hari nanti.

No comments: