Wednesday, February 7, 2018

Sabar Menghadapi Kesusahan


Assalamualaikum W.B.T. 

Perbanyakkanlah mengucapkan rasa syukur kepada Allah S.W.T dengan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Syukurilah nikmat yang sedia ada mudah-mudahan  Allah S.W.T akan memberi nikmat yang kita tiada.
Firman Allah SWT :
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ   (156)
أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ (157)

Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah Al-Baqarah ayat:156-157)

Ketika menghadapi musibah mengucapkan inna lillah dengan lidah sahaja pun dapat mendatangkan manfaat dan balasan yang baik. Jika perkataan tersebut diucap sambil memahami ertinya maka akan dapat memberikan kesan yang lebih baik serta mendatangkan ketenangan jiwa.

Apabila seseorang mengalami kerugian dan dia mempunyai keyakinan bahawa kerugian yang dialaminya itu akan diganti dengan pampasan yang lebih banyak. Maka dia tidak akan merasa duka cita dan susah hati terhadap kerugian yang dialaminya itu. Tetapi oleh kerana keimanan dan keyakinan yang lemah, maka sedikit saja kesusahan, kepayahan atau ujian yang menimpa kita merasa seolah-olah sedang manghadapi musibah yang begitu besar.

Di dalam Al-Quran Allah S.W.T berkali-kali menyatakan bahawa dunia ini merupakan ujian. Ujian dari bermacam-macam sudut yang menimpa. Kadang kala uiian dari harta yang berlebihan, kemiskinan, kelaparan,kesenangan, kemewahan dan berbagai-bagai jenis ujian dari Allah S.W.T.

Persoalannya bagaimanakah ujian ini disambut oleh kita? Adakah disambut dengan menjerit dan mengadu ataupun disambut dengan sabar dan solat? Firman Allah S.W.T;

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Maksudnya :”Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
                                                                                                    (Surah Al-Baqarah ayat: 45)
Hadrat Huzaifah r.a berkata bahawa apabila baginda Rasulullah s.a.w menghadapi sesuatu kesulitan, maka baginda segera bersolat. Mudah-mudahan kita mampu untuk melakukan tindakan yang wajar apabila ujian Allah S.W.T menimpa. Wallahualam.
 info daripada:
فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,

Melaka

No comments: