Assalamualaikum wrt. wbrt.
Salam Ramadan yang penuh keberkatan ini, dipanjatkan kesyukuran kerana masih diizin oleh Allah SWT untuk berada di bulan ini. Hari ini adalah hari keenam kita berpuasa.
Gembira rasanya dengan kehadiran Ramadan, yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam kerana mulia dan berkatnya bulan Ramadan. Kegembiraan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata yang sebenar kerana bulan ini lain benar suasananya, ibadahnya, pengurusan harian, dan paling penting banyak kelebihan di dalamnya.
Bermula dari kita bersahur sehinggalah kita berbuka puasa Rasulullah s.a.w. ada menyatakan bahawa doa mereka akan dimakbulkan.
Sebagaimana hadis :
ﺛَﻼَﺛَﺔٌ ﻻَ ﺗُﺮَﺩُّ ﺩَﻋْﻮَﺗُﻬُﻢُ ﺍﻹِﻣَﺎﻡُ ﺍﻟْﻌَﺎﺩِﻝُ ﻭَﺍﻟﺼَّﺎﺋِﻢُ ﺣَﺘَّﻰ ﻳُﻔْﻄِﺮَ ﻭَﺩَﻋْﻮَﺓُ ﺍﻟْﻤَﻈْﻠُﻮﻡِ
“Ada tiga doa yang tidak tertolak: (1) doa pemimpin yang adil, (2) doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka, (3) doa orang yang dizalimi.”
An-Nawawi menjelaskan,
ﻳﺴﺘﺤﺐّ ﻟﻠﺼﺎﺋﻢ ﺃﻥ ﻳﺪﻋﻮ ﻓﻲ ﺣَﺎﻝِ ﺻَﻮْﻣِﻪِ ﺑِﻤُﻬِﻤَّﺎﺕِ ﺍﻟْﺂﺧِﺮَﺓِ ﻭَﺍﻟﺪُّﻧْﻴَﺎ ﻟَﻪُ ﻭَﻟِﻤَﻦْ ﻳُﺤِﺐُّ ﻭَﻟِﻠْﻤُﺴْﻠِﻤِﻴﻦَ
“Dianjurkan bagi orang yang berpuasa untuk berdoa sepanjang waktu dia berpuasa (selama ia berpuasa) dengan doa-doa yang sangat penting bagi urusan akhirat dan dunianya, bagi dirinya, bagi orang yang dicintai dan untuk kaum muslimin.”
Berpuasa juga melatih kita menjadi orang yang ikhlas iaitu berbuat amal hanya kerana Allah SWT. Ini adalah kerana mereka yang berpuasa dapat memelihara puasanya tanpa makan dan minum bukan kerana ada orang yang melihatnya tetapi merasakan bahawa Allah sedang memerhatikannya. Walaupun banyak peluang untuk makan ataupun minum di tempat yang tersorok, tetapi disebabkan Allah itu ada maka seseorang itu mampu berpuasa dengan penuh rasa ikhlas dan menunjukkan ketaaatannya kepada Allah SWT.
Setelah sebulan melatih diri menjadi orang yang ikhlas hanya kerana Allah SWT, insya Allah setelah tamat Ramadan nanti, amalan itu akan terbawa-bawa sehinggalah bertemu kembali Ramadan yang akan datang. Dengan adanya latihan sedemikian, perkara mungkar juga dapat dijauhkan.
Disebabkan itu jugalah dikatakan bulan Ramadan ini adalah bulan tarbiyyah iaitu mendidik jiwa kita untuk dekat kepada Allah SWT. Apa yang dikongsikan ini hanya salah satu daripada didikan –didikan yang boleh kita perolehi dari kelebihan Ramadan ini.
Suasana di bulan Ramadan sebenarnya lebih memudahkan kita untuk beribadah kerana suasana ibadah telah ada di mana-mana sepanjang bulan yang mulia ini. Lebih mudah lagi kerana semua ummat Islam berpuasa maka kita tidak akan rasa terasing untuk perbanyakkan ibadat solat sunat, mengaji al-Quran, bersedekah, berkata-kata perkara yang baik dan sebagainya.
Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar dipanjangkan usia dan dipermudahkan untuk kita melaksanakan ibadat puasa ini. Kita juga mesti menaruh harapan yang tinggi agar segala amalan kita ini diterima oleh Allah SWT dan mendapat pengampunan daripadaNya.
sma
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
No comments:
Post a Comment