Assalamua’laikum w.b.t. Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmatnya dapat kita meluangkan masa bagi menambah pengetahuan kita dengan membaca info yang mudah untuk kita fahami tapi bukan mudah untuk diamalkan.
Berikut ingin dikongsikan keutamaan berzikir kepada Allah SWT :
1. Zikir kepada Allah SWT adalah asas ibadah kepadaNya, kerana sesungguhnya berzikir kepada Allah SWT adalah cara berhubung seorang hamba dengan Khaliqnya di setiap waktu dan keadaan.
Dari ‘Aisyah r.a dia berkata :
عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها قالت: (كان النبي صلى الله عليه وسلم يذكر الله على كل أحيانه)
رواه مسلم
Maksudnya: “Nabi SAW senantiasa menyebut Asma’ Allah (berzikir) di setiap waktu baginda.”
(HR Muslim)
Bila sentiasa melakukan zikir kepada Allah SWT, maka hidup kita akan semakin tenang. Dengan berzikir juga akan menyebabkan keselamatan, merasa dekat kepada Allah SWT dan mendapat keredhaanNya. Sedangkan jauh dari Allah (kerana lalai dalam berzikir dan banyak melakukan maksiat kepada Allah), akan menyebabkan kesesatan dan kerugian.
2. Zikir kepada Allah SWT adalah pembeza antara Mukmin dan munafik, kerana sifat orang-orang munafik adalah tidak mahu berzikir kepada Allah kecuali hanya sedikit sahaja.
3. Syaitan tidak dapat menggoda manusia kecuali apabila dia lalai dari berzikir kepada Allah SWT. Zikir kepada Allah SWT adalah benteng kukuh yang dapat melindungi manusia dari tipu daya syaitan, sedangkan syaitan sentiasa suka apabila manusia lalai dari berzikir kepada Allah.
4. Zikir kepada Allah SWT adalah jalan menuju kebahagian. Allah SWT berfiman :
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah SWT. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d :28)
5. Zikir mesti dilakukan secara rutin (terus-menerus), ini kerana supaya tiada lagi penduduk Syurga yang bersedih akan sesuatu yang mereka telah tangguhkan semasa di dunia iaitu berzikir kepada Allah SWT (Sesungguhnya rutin berzikir mencerminkan hubungan baik dengan Allah SWT).
Imam Nawawi berkata : “Para ulama telah sepakat tentang bolehnya berzikir dengan hati dan lisan bagi orang-orang yang sedang bercakap-cakap, bagi orang yang sedang junub, wanita yang sedang haid, wanita yang nifas. Sehingga, diperbolehkan bagi mereka untuk mempraktikkan berupa tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan selawat kepada SAW.”
6. Barangsiapa yang sentiasa mengingati Allah SWT, maka Allah juga akan mengingatinya.
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksudnya : “Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadaMu. Bersyukurlah kepada Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada Ku.”
(Surah Al-Baqarah : 152)
Seseorang akan merasa bangga ketika mana seorang raja menyebut-nyebut dan memuji-mujinya di dalam majlisnya. Maka bagaimana bila yang menyebut-nyebutnya adalah Allah SWT, iaitu Raja segala raja, iaitu (Allah SWT memuji-mujinya ) di hadapan para MalaikatNya yang sentiasa berzikir kepadaNya? Masya Allah semestinya kita akan terpegun dan bangga tidak terkata.
Maka, selayaknya seseorang yang berzikir kepada Allah SWT untuk tetap hatinya dalam mengucapkan lafaz zikirnya. Menyatukan zikir hati dengan zikir lisan, agar manusia sentiasa tetap terikat dalam zikirnya kepada Allah SWT secara zahir mahupun batin.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment