Wednesday, February 7, 2018

HUKUM BERCELAK

 HUKUM BERCELAK 👀

Assalamu’alaikum wrt wbrt. Didoakan agar semua pembaca berada dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah selalu. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah S.W.T. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Rasulullah s.a.w. serta keluarga baginda dan dikasihi juga buat para sahabat yang banyak berkorban dalam menegakkan agama Allah S.W.T. Moga kita semua sentiasa dalam petunjuk Allah S.W.T dalam setiap apa yang kita lakukan.

Perkongsian kita pada pagi ini adalah berkaitan “Hukum memakai celak”. Ada dikalangan kita yang suka memakai celak samada di dalam atau di luar rumah. Merujuk kitab al-Mufassol karangan Dr. Abdul Karim Zaidan, menyatakan bahawa hukum memakai celak  adalah harus sama ada bagi lelaki ataupun perempuan. Celak adalah perhiasan yang pernah dipakai oleh Rasulullah S.A.W sebagaimana yang direkodkan dalam hadis Tirmizi dan Ibn Majah daripada Ibn Abbas yang bermaksud,
“Pada diri Nabi, ada celak yang digunakan oleh beliau sebanyak tiga waktu.”
Dalam hadis yang lain pula Rasulullah S.A.W  bersabda yang bermaksud,
“Sesiapa yang memakai celak maka hendaklah dipakainya sebanyak tiga kali.”
Sarjana Islam menetapkan harus memakai celak bagi lelaki ataupun perempuan dan tiada larangan memakai nya melainkan pada ketika mengerjakan haji iaitu makruh hukumnya.
Perlu diingat perhiasan yang dilarang ke atas kaum wanita itu bukannya celak, tetapi alat-alat solek seperti gincu, pemerah pipi, dan seumpamanya yang banyak terdapat pada hari ini. Alat-alat solek ini adalah perhiasan yang banyak menimbulkan fitnah kepada kaum lelaki.
Oleh itu, bagi kaum wanita, janganlah ambil mudah dalam bab bercelak ini setelah mengetahui hukumnya. Kerana tidak mustahil sesuatu hukum harus boleh bertukar kepada haram kerana sikap dan kelakuan kita. Kita perlu lebih berhati-hati dan betulkan niat dalam setiap apa yang kita ingin lakukan agar tidak timbul sebarang fitnah yang mana akan merosakkan diri dan orang disekeliling kita. Semoga perkongsian hari ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita semua. Sekian, terima kasih.

 فوست إسلام
Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka

No comments: