Assalamu’alaikum wrt wbrt. Didoakan agar semua pembaca berada dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah selalu. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah S.W.T. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Rasulullah s.a.w. serta keluarga baginda dan dikasihi juga buat para sahabat yang banyak berkorban dalam menegakkan agama Allah S.W.T. Moga kita semua sentiasa dalam petunjuk dan redha Allah S.W.T dalam setiap apa yang kita lakukan.
Pada hari ini, kita akan berkongsi tajuk berkaitan “ADAB PUASA”. Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji hasil karya dan buah tangan daripada tokoh-tokoh ulama’ Syria yang terkenal iaitu Ashab al-Fadhilah Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha dan Dr.Ali al-Syarbaji yang telah diterjemahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dr.Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri ada menerangkan pada kita tentang adab-adab dalam puasa.
PERTAMA : Segera Berbuka setelah matahari terbenam
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya :”Orang yang berpuasa sentiasa mendapat kebajikan, selama mereka segera berbuka”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
KEDUA :Bersahur
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “ Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan.
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
KETIGA : Melewatkan sahur sebelum terbit fajar.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Umatku sentiasa mendapat kebajikan selama mereka segera berbuka dan lewat sahur.”
Riwayat Imam Ahmad
KEEMPAT : Meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan yang memberahikan.
Kata-kata keji seperti maki hamun, berbohong, mengumpat dan seumpamanya. Sementara perbuatan yang memberahikan adalah seperti merenung perempuan dan mendengar nyayian yang mengasyikkan dan melalaikan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak menghentikan perbuatan itu, Allah pun tidak perlu dia meninggalkan makan dan minumnya.”
Riwayat al-Bukhari
KELIMA : Mandi Janabah sebelum Terbit Fajar
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Nabi SAW dalam keadaan janabah pada waktu subuh, lantaran persetubuhan yang bukannya mimpi. Kemudian, baginda mandi janabah dan berpuasa.”
Riwayat al-Bukhari
KEENAM : Meninggalkan bekam di kepala, di badan dan seumpamanya dan merasa makanan atau mengunyahnya.
Berbekam akan melemahkan orang yang berpuasa manakala merasa makanan pula dikhuatiri sesuatu daripada makanan tersebut masuk ke rongga yang akan membatalkan puasanya.
KETUJUH : Berdoa ketika berbuka
Doa berbuka ialah:
Maksudnya : “Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, dengan rezeki-Mu aku berbuka, telah hilang dahaga,basah semua urat saraf dan tetaplah pahalanya dengan izin-Mu.”
KELAPAN: Memberi Juadah Berbuka kepada Orang yang berpuasa
Berdasarka hadith Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya.”
Riwayat al-Tirmizi
KESEMBILAN : Banyakkan memberi sedekah, membaca dan tadarus al-Quran, Beri’tikaf di Masjid, Terutamanya pada sepuluh hari akhir bulan Ramadhan.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW :
Maksudnya : “Rasulullah SAW telah ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang afdhal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadhan.
Riwayat al-Tirmizi
Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaat bersama. Sekian terima kasih.
فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka
No comments:
Post a Comment