Wednesday, February 7, 2018

KEDUDUKAN ZAKAT FITRAH



Sebagaimana yang dijelaskan Syaeikhul Islam Ibn Taimiyyah, pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini adalah bahawasanya Zakat Fitrah itu mengikuti prosedur kaffarah. Kerana Zakat Fitrah adalah zakat badan dan bukan zakat harta. Di antara dalil yang menunjukkan bahawa zakat fitrah adalah zakat badan dan bukan harta adalah pernyataan ibn abbas dan ibn umar ra tentang zakat fitrah :

Ibnu Umar ra mengatakan : “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah, bagi kaum muslimin, hamba mahupun orang merdeka, lelaki mahupun wanita, anak kecil mahupun orang dewasa”. HR Al-Bukhari

Ibnu Abbas ra mengatakan : “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah, sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa & perbuatan atau ucapan yang buruk”. HR Abu Daud & dihasankan Syaikh Al-Albani

Dua riwayat ini menunjukkan bahawa Zakat Fitrah ini adalah zakat badan, bukan zakat harta. Berikut adalah 2 pendapat tentang kedudukan Zakat Fitrah iaitu :

1.    Adanya kewajipan zakat bagi anak-anak, hamba dan wanita. Padahal mereka adalah orang yang tidak memiliki harta. Seperti hamba, jasad dan hartanya semuanya milik tuannya. Jika zakat fitrah merupakan kewajipan kerana harta maka tidak mungkin orang yang sama sekali tidak memiliki harta diwajibkan untuk dikeluarkan zakatnya.
2.    Salah satu fungsi zakat adalah penyuci orang yang berpuasa dari perbuatan yang menggugurkan pahala puasa & perbuatan atau ucapan yang buruk.  Fungsi ini menunjukkan bahawa zakat fitrah statusnya sebagaimana kaffarah untuk kekurangan puasa seseorang.

PANDANGAN ULAMA’ TENTANG PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH

Pendapat Pertama : Pendapat yang membolehkan zakat dengan menggunakan wang

Ada sebahagian ulama’ yang memberikan pendapat membolehkan membayar zakat fitrah dengan menggunakan wang. Di antaranya Adalah Imam Abu Hanifah, Imam Tsauri, Imam Al-Bukhari Dan Imam Abu Taimiyyah. Dalil mereka antara lain firman Allah SWT yang bermaksud : “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka.” Surah At-Taubah Ayat 103

Menurut mereka, ayat ini menunjukkan zakat asalnya diambil dari harta iaitu apa yang dimiliki berupa emas dan perak (termasuk wang). Jadi ayat ini membolehkan membayar zakat fitrah dalam bentuk wang.(Rabi’ Ahmad Sayyid, Tadzir Al-Anam Bi Wujub Ikhraj Zakat Al-Fithr Tha’nam Hal 4)

Mereka juga berhujjah dengan sabda nabi Muhammad saw yang bermaksud : “cukupilah mereka (kaum fakir dan miskin)dari meminta-minta pada hari seperti ini (iedul fitri). HR Daruquthni Dan Baihaqi

Menurut mereka, memberi kecukupan (ighna’) kepada fakir miskin dalam zakat fitrah terwujud dengan meberika wang (Abdullah Al-Ghafili, Hokum Ikhraj Al-Qimah Fi Zakat Al-Fithr Hal 3)

Pendapat Yang Kedua : pendapat yang tidak membolehkan dan mewajibkan Zakat Fitrah dalam bentuk bahan makanan utama/asasi.

Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ Malikiyyah, Syafi’iyah Dan Hanabilah. (Al-mudawwanah al-Kubra, alMajmu’, Almughni)

Dalil mereka antara lain daripada hadith ibnu umar ra yang bermaksud : “rasulullah saw telah mewajibkan Zakat Fitrah berupa satu sha’ kurma atau satu sha’ (sya’ir) atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, anak-anak dan orang dewasa, dari kaum muslimin.” HR al-Bukhari

Hadith ini jelas menunjukkan Zakat Fitrah dalam bentuk bahan makanan bukan dengan wang, padahal zaman itu dinar dan dirham sudah ada ketika itu.

Kesimpulannya, adalah pada dasarnya membayar zakat dengan wang itu boleh, bahkan dalam keadaan tertentu lebih utama. Mungkin boleh jadi pada saat Idul Fitri jumlah makanan (beras) yang dimiliki fakir miskin jumlah berlebihan. Kerana itu, mereka menjualnya untuk kepentingan lain. Dengan membayar zakat menggunakan wang, mereka tidak perlu susah payah untuk menjualnya kembaliyang mungkin harganya menjadi lebih rendah. Dan dengan wang itu pula, mereka dapt membelanjakan sebahagian untuk makanan, pakaian dan keperluan lainnya. Wallahu A’lam




فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka

ADAB PUASA


Assalamu’alaikum wrt wbrt. Didoakan agar semua pembaca berada dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah selalu. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah S.W.T. Selawat dan salam buat junjungan tercinta Rasulullah s.a.w. serta keluarga baginda dan dikasihi juga buat para sahabat yang banyak berkorban dalam menegakkan agama Allah S.W.T. Moga kita semua sentiasa dalam petunjuk dan redha Allah S.W.T dalam setiap apa yang kita lakukan.
Pada hari ini, kita akan berkongsi tajuk berkaitan “ADAB PUASA”. Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji hasil karya dan buah tangan daripada tokoh-tokoh ulama’ Syria yang terkenal iaitu Ashab al-Fadhilah Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha dan Dr.Ali al-Syarbaji yang telah diterjemahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dr.Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri ada menerangkan pada kita tentang adab-adab dalam puasa.
PERTAMA : Segera Berbuka setelah matahari terbenam
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya :”Orang yang berpuasa sentiasa mendapat kebajikan, selama mereka segera berbuka”
                                                              Riwayat al-Bukhari dan Muslim
KEDUA :Bersahur
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “ Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan.
                                                              Riwayat al-Bukhari dan Muslim
KETIGA : Melewatkan sahur sebelum terbit fajar.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Umatku sentiasa mendapat kebajikan selama mereka segera berbuka dan lewat sahur.”
                                                                 Riwayat Imam Ahmad
KEEMPAT : Meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan yang memberahikan.
Kata-kata keji seperti maki hamun, berbohong, mengumpat dan seumpamanya. Sementara perbuatan yang memberahikan adalah seperti merenung perempuan dan mendengar nyayian yang mengasyikkan dan melalaikan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak menghentikan perbuatan itu, Allah pun tidak perlu dia meninggalkan makan dan minumnya.”
                                                                       Riwayat al-Bukhari
KELIMA : Mandi Janabah sebelum Terbit Fajar
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Nabi SAW dalam keadaan janabah pada waktu subuh, lantaran persetubuhan yang bukannya mimpi. Kemudian, baginda mandi janabah dan berpuasa.”
                                                                       Riwayat al-Bukhari

KEENAM : Meninggalkan bekam di kepala, di badan dan seumpamanya dan merasa makanan atau mengunyahnya.
Berbekam akan melemahkan orang yang berpuasa manakala merasa makanan pula dikhuatiri sesuatu daripada makanan tersebut masuk ke rongga yang akan membatalkan puasanya.

KETUJUH : Berdoa ketika berbuka
Doa berbuka ialah:
Maksudnya : “Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, dengan rezeki-Mu aku berbuka, telah hilang dahaga,basah semua urat saraf dan tetaplah pahalanya dengan izin-Mu.”

KELAPAN: Memberi Juadah Berbuka kepada Orang yang berpuasa
Berdasarka hadith Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya.”
                                                                         Riwayat al-Tirmizi

KESEMBILAN : Banyakkan memberi sedekah, membaca dan tadarus al-Quran, Beri’tikaf di Masjid, Terutamanya pada sepuluh hari akhir bulan Ramadhan.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW :
Maksudnya : “Rasulullah SAW telah ditanya : Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang afdhal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadhan.
                                                                         Riwayat al-Tirmizi


Semoga ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaat bersama. Sekian terima kasih.


فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka

Galakan Berbuat Kebaikan



Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda :

من نفس عن مؤمن كربة من كرب الدنيا, نفس الله عنه كربة من كرب يوم القيامة, ومن يسر على معسر يسر الله عليه في الدنيا والآخرة. ومن ستر مسلما ستره الله في الدنيا والآخرة. والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه. ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا الى الجنة. وما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله, يتلون كتاب الله ويتدارسونه بيهم, الا نزلت عليهم السكينة, وغشيتهم الرحمة, وحفتهم الملائكة, وذكرهم الله فيمن عنده. ومن بطآبه عمله لم يسرع به نسبه


Maksudnya : “Barangsiapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan ( membantu dalam masalah hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang), maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah (masjid) dari rumah-rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketenangan akan turun pada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan para malaikat-Nya. Barangsiapa yang amal solehnya sedikit, maka nasab (keturunan)nya tidak boleh mengangkat darjatnya.”

                                                                                                                                                 Riwayat Muslim

Pedoman dan Iktibar Hadis

Hadis ini mempunyai banyak pengajaran yang dapat kita ambil, antaranya ialah :

  1. Orang Islam adalah seperti satu jasad.


    Sesungguhnya setiap masyarakat Islam adalah seperti satu tubuh badan. Setiap anggota menjiwai perasaan orang lain. Dengan itu dia bersama –sama mereka dalam kegembiraan dan kesedihan. Mereka bersama-sama dalam kegembiraan apabila mereka mendapat kebahagiaan, kesenangan, ketenangan, kesihatan dan lain-lain lagi. Manakala mereka bersama-sama dalam kesedihan apabila mereka menderita, mendapat kesakitan, ditimpa kemiskinan, kesempitan, kemelaratan dan kesusahan hidup.

     
  2. Allah SWT pasti memberikan pertolongan buat Muslimin yang saling tolong –menolong.

     
    Sesungguhnya masyarakat tidak akan lurus dan stabil, tidak kuat dan kukuh kecuali jika ia dibina di atas dasar tolong-menolong ataupun bantu-membantu antara satu sama lain. Oleh itu, setiap individu hendaklah berusaha memenuhi keperluan orang lain dengan jiwa, harta dan kedudukan, sehinggalah semuanya merasakan bahawa mereka adalah satu tubuh. Inilah yang dianjurkan oleh Islam dan diperintahkan oleh al-Quran. Manakala al-Sunnah pula menjadikannya sebagai lambang kepada masyarakat beriman.

     
  3. Jika dia melihat seseorang sedang melakukan maksiat.


    Apabila seseorang melihat orang lain sedang melakukan maksiat, maka dia tidak boleh menyembunyikan dan mengambil sikap berdiam diri. Dia dituntut supaya segera mencegahnya jika dia mampu berbuat demikian. Jika tidak, dia mesti membawa perkara tersebut kepada pemerintah dengan segera.

     
  4. Keringanan kepada orang yang melakukan maksiat.


    Apabila seorang Muslim melakukan kesalahan, sedangkan dia tidak dikenali sebagai seorang yang sentiasa melakukannya, dan masyarakat mengenalinya sebagai seorang yang istiqamah dan baik, maka orang lain digalakkan supaya menyembunyikan kesalahannya dan tidak meperbesar-besarkannya. Mereka juga hendaklah memberi keringanan kepadanya dan menjadi orang tengah untuk meminta maaf daripada mereka yang ada kaitan dengan kesalahan yang dilakukannya. Ini sekiranya kesalahan tersebut mempunyai hubungan dengan orang lain.

     
  5. Tidak boleh memberi keringanan di hadapan pemerintah.


    Penjelasan mengenai keringanan sebelum ini adalah bagi mereka yang kesnya belum dihadapkan kepada pemerintah. Apabila kesnya sudah dibawa kepada pemerintah, maka memberi syafaat kepadanya adalah diharamkan. Menjadi orang tengah untuk meringan atau melepaskannya daripada hukuman adalah maksiat. Orang yang terlibat atau berusaha kea rah itu adalah berdosa. Ini menunjukkan betapa banyaknya faedah dan kelebihan daripada hadis di atas.



    Dirujuk daripada Kitab Berjudul “ Pertama Buat Orang Yang Beriman” dikarang oleh YBhg. Sahibus Samahah Dr. Zulkifli  Mohamad al-Bakri.
     


فوست إسلام
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka

BERZIKIR KEPADA ALLAH DI SETIAP WAKTU



Assalamua’laikum w.b.t. Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmatnya dapat kita meluangkan masa bagi menambah pengetahuan kita dengan membaca info yang mudah untuk kita fahami tapi bukan mudah untuk diamalkan.

Berikut ingin dikongsikan keutamaan berzikir kepada Allah SWT :

1.    Zikir kepada Allah SWT adalah asas ibadah kepadaNya, kerana sesungguhnya berzikir kepada Allah SWT adalah cara berhubung seorang hamba dengan Khaliqnya di setiap waktu dan keadaan.
Dari ‘Aisyah r.a dia berkata :

عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها قالت: (كان النبي صلى الله عليه وسلم يذكر الله على كل أحيانه)
رواه مسلم
Maksudnya: “Nabi SAW senantiasa menyebut Asma’ Allah (berzikir) di setiap waktu baginda.”
(HR Muslim)

Bila sentiasa melakukan zikir kepada Allah SWT, maka hidup kita akan semakin tenang. Dengan berzikir juga akan menyebabkan keselamatan, merasa dekat kepada Allah SWT dan mendapat keredhaanNya. Sedangkan jauh dari Allah (kerana lalai dalam berzikir dan banyak melakukan maksiat kepada Allah), akan menyebabkan kesesatan dan kerugian.

2.    Zikir kepada Allah SWT adalah pembeza antara Mukmin dan munafik, kerana sifat orang-orang munafik adalah tidak mahu berzikir kepada Allah kecuali hanya sedikit sahaja.

3.    Syaitan tidak dapat menggoda manusia kecuali apabila dia lalai dari berzikir kepada Allah SWT. Zikir kepada Allah SWT adalah benteng kukuh yang dapat melindungi manusia dari tipu daya syaitan, sedangkan syaitan sentiasa suka apabila manusia lalai dari berzikir kepada Allah.

4.    Zikir kepada Allah SWT adalah jalan menuju kebahagian. Allah SWT berfiman :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah SWT. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d :28)

5. Zikir mesti dilakukan secara rutin (terus-menerus), ini kerana supaya tiada lagi penduduk Syurga yang bersedih akan sesuatu yang mereka telah tangguhkan semasa di dunia iaitu berzikir kepada Allah SWT (Sesungguhnya rutin berzikir mencerminkan hubungan baik dengan Allah SWT).

Imam Nawawi berkata : “Para ulama telah sepakat tentang bolehnya berzikir dengan hati dan lisan bagi orang-orang yang sedang bercakap-cakap, bagi orang yang sedang junub, wanita yang sedang haid, wanita yang nifas. Sehingga, diperbolehkan bagi mereka untuk mempraktikkan berupa tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan selawat kepada SAW.”

6.    Barangsiapa yang sentiasa mengingati Allah SWT, maka Allah juga akan mengingatinya.

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya : “Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadaMu. Bersyukurlah kepada Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada Ku.”
(Surah Al-Baqarah : 152)

Seseorang akan merasa bangga ketika mana seorang raja menyebut-nyebut dan memuji-mujinya di dalam majlisnya. Maka bagaimana bila yang menyebut-nyebutnya adalah Allah SWT, iaitu Raja segala raja, iaitu (Allah SWT memuji-mujinya ) di hadapan para MalaikatNya yang sentiasa berzikir kepadaNya? Masya Allah semestinya kita akan terpegun dan bangga tidak terkata.

Maka, selayaknya seseorang yang berzikir kepada Allah SWT untuk tetap hatinya dalam mengucapkan lafaz zikirnya. Menyatukan zikir hati dengan zikir lisan, agar manusia sentiasa tetap terikat dalam zikirnya kepada Allah SWT secara zahir mahupun batin.

Wassalam.

SUNNAH – SUNNAH KETIKA BERTEMU ORANG LAIN



Assalamualaikum W.B.T. Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan kehendak dan iradatnya dapat kita bersama-sama membaca sedikit info tazkirah yang mudah-mudahan boleh memberi manfaat kepada pembaca semua.

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari berjumpa dengan orang lain. Paling cepat kita berjumpa adalah penghuni yang tinggal serumah denagn kita sama ada isteri/suami, anak-anak, ibubapa, kawan serumah dan sebagainya.

Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. ada mengajari kita cara ketika bertemu orang lain terutamanya orang Islam. Antaranya :

1. Mengucapkan Salam

((عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ ))

Maksudnya :”Bahawasanya seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “ Amalan apakah yang terbaik di dalam Islam?” Rasulullah s.a.w. menjawab : “Memberikan makanan dan mengucapkan salam kepada orang (Muslim) yang engkau kenal ataupun tidak engkau kenal”
(HR Al-Bukhari dan Muslim)
2. Kata Yang Baik
Allah SWT berfirman  :

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya : “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu : “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sungguh, syaitan itu (selalu) menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sungguh, syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
(Surah Al-Isra’ :53)
Rasulullah s.a.w. bersabda :

((والكلمة الطيبة صدقة))؛
الحديث متفق عليه
Maksudnya : “ Perkataan yang baik adalah sedekah.”
(HR Al-Bukhari dan Muslim)

3. Bermuka Manis

Rasulullah s.a.w. bersabda :

الرسول صلى الله عليه وسلم ((لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طليق  ))
Maksudnya : “Janganlah engkau meremehkan perbuatan kebaiakn dari sesuatu apa pun, walaupun sekadar menyambut saudaramu dengan muka yang manis.”
(HR. Muslim)
4. Berjabat tangan

Rasulullah s.a.w. bersabda :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ ، إِلا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا "
Maksudnya : “Tidaklah dua orang Muslim saling bertemu lalu keduanya berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa keduanya sebelum keduanya berpisah.”
(HR Dawud, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Semoga segala panduan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini menjadi pegangan kita. Insya Allah segala amal perbuatan baik yang diniatkan sebagai rasa kasih sayang sesama umat, dan suka untuk mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. maka kesannya dapat dirasai di dunia dan mendapat ganjaran di akhirat. Yakinlah bahawa, jika kita ikut amalan Rasullah s.a.w. kita telah mengikut kehendak fitrah kerana Rasulullah s.a.w. merupakan idola dan pesuruh Allah SWT. Wallahu A’lam.

 
فوست إسلام

Universiti Teknikal Malaysia Melaka
Hang Tuah Jaya,
76100 Durian Tunggal,
Melaka