BESTARI JAYA, 13 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati graduan Universiti Selangor(Unisel) agar berdikari dan tidak takut meneroka ilmu baru bagi bersaing mendapatkan pekerjaan.
Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 1,500 hadirin semasa Majlis Istiadat Konvokesyen Ketujuh Unisel di Di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini hari ini
“Mahasiswa Unisel mendapat pengiktirafan dan anugerah di peringkat negara dan antarabangsa kerana kecemerlangan akademik dan projek masing-masing yang ada di antaranya mengatasi pencapaian universiti-universiti tempatan yang lain,” kata Abdul Khalid
Abdul Khalid berkata, graduan perlu berusaha mencari kerja dengan mencari inisiatif sendiri serta menambah kemahiran sedia ada dari masa ke semasa.
“Apabila graduan sudah tamat belajar maka perlu bersedia memberikan khidmat bagi manfaat diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.
“Graduan juga harus memahami bahawa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ditimba di Unisel perlu terus diperbaharui,” kata Abdul Khalid.
Ujar beliau, perkembangan teknologi yang terus berkembang dan berubah menuntut graduan agar bersedia dan peka dengan perkembangan serta bijak menggunakan teknologi itu untuk memajukan negara.
“Kepada graduan yang sudah mempunyai pekerjaan tetap agar sentiasa membuka minda serta mencari peluang untuk memajukan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi.
“Dengan ini graduan Unisel dapat berdikari dan mampu maju ke hadapan dalam bidang yang diceburi,” ujar Abdul Khalid.
Untuk edisi kali ini, seramai 2067 orang pelajar layak menerima sijil Diploma dan Ijazah masing-masing.
Abdul Khalid juga memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM270 juta bagi membiayai Universiti Selangor (Unisel) dalam bentuk pembayaran hutang, pembangunan dan membaik pulih prasarana, pengurusan kakitangan dan juga biayai kakitangan akademik untuk menyambung pelajaran.
Beliau juga berkata masalah asrama yang dihadapi oleh pelajar sebelum ini berjaya diselesaikan dengan berhemah oleh pengurusan Unisel.
No comments:
Post a Comment