KUALA SELANGOR - Meskipun duduk tidak sama rendah dan berdiri tidak sama tinggi dengan pelajar lain, ini tidak mematahkan semangat seorang pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang menghidap penyakit sindrom tumbesaran untuk berusaha gigih sehingga berjaya menggenggan Ijazah Sarjana Muda Seni Grafik Digital pada konvokesyen universiti itu hari ini.
  
Nor Qaiyyum Mohd Sofian, 24, berkata sungguhpun memiliki ketinggian 145 sm dan bentuk fizikal seperti murid Tahun Tiga, beliau tetap bersabar dan yakin dengan kemampuan diri apabila sentiasa diperli serta diejek teman sekuliah.
  
"Saya sudah biasa dipandang pelik dan diejek kerana bentuk fizikal yang kecil berbanding orang lain.
  
"Tidak dinafikan ada yang menjadikan saya bahan jenaka, tetapi bila kita bersabar, semuanya akan baik kerana akhirnya mereka yang ejek saya menjadi kawan saya," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah daripada Canselor Unisel Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
  
Nor Qaiyyum, yang mencatat Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 2.89 berkata baginya tidak ada perkara mustahil jika benar-benar mahu berjaya kerana faktor paling penting ialah mendapat restu ibu bapa, sentiasa percaya rezeki ketentuan Allah dan tidak ponteng kuliah.

Sementara itu, penerima Anugerah Naib Canselor, Nur Hanini Ishak, 24, yang mengikuti bidang pengajian yang sama dengan Nur Qayyum, berharap semua pihak mengubah tanggapan bahawa bidang seni satu cabang yang tidak menjamin masa depan.
  
"Orang kita double standard bila fikir seni, semua gambarkan remeh dan tidak ada masa depan. Itulah cabaran yang saya ambil ketika membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Unisel, walaupun latar belakang saya ialah dalam bidang kejuruteraan dan sains," katanya yang mencatat HPNG 3.7.
  
Penerima Anugerah Pengerusi, Muhammad Hazrin Othman, 25, yang mencatat HPNG 3.86 pula menjadikan kegagalan ketika melanjutkan pengajian di Australia pada 2007 sebagai pemangkin untuk berjaya sekali gus menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.
  
Dua lagi penerima anugerah utama ialah Berjilia Jung Im Kim (Anugerah Naib Canselor) dan Uzzairah Nabila Ahmad Tazli (Anugerah Exco Pendidikan).
  
Seramai 2,101 graduan menerima diploma, ijazah, ijazah sarjana dan doktor falsafah pada konvokesyen dua hari itu, yang bermula hari ini.- Bernama